Ini adalah kali ketiga pengalaman ini aku hadapi. Sebelum ini Kimi dan arwah Yanie juga pernah kena tapi dengan pengalaman yang berbeza..dan akupun hampir lupa sebab dah lama.
Kes sama, ketiga-tiganya dijangkiti dari taska.
Dalam kes Hani, aku tak tahupun yang dia dijangkiti HFMD pada mulanya.
Hari Pertama
Petang Jumaat 7 November 2014, dalam jam 3 petang,aku dapat panggilan dari Taska yang memberitahu Hani tiba-tiba demam. Suhu badan mencecah 38 celcius. Kelam kabut aku balik untuk ambil Hani di taska. Sementara menunggu aku tiba di taska, aku minta penjaga Hani untuk basah-basahkan badan Hani dengan tuala basah supaya suhu badannya tidak terus melonjak naik.
Tiba ditaska, memang panas badan Hani. Sesampai di rumah, aku berikan minum 3ml ubat demam paracetamol. Masa tu suhu badan Hani dah 38.5. Kemudian sambung basah-basahkan badan dan kepala Hani. Dalam sejam, panas badan Hani turun ke 37.9 dan selepas 2 jam, barulah kembali ke suhu normal.
Pada sebelah malam, selepas 6 jam dari dos paracetamol pertama, aku bagi Hani dos yang kedua..sebab suhu badan kembali naik.
Sepanjang malam tu, Hani tak lena tidur. Dia bangun pada waktu dia nak menyusu, tapi bila aku berikan susu, dia menjerit semahunya..menangis. Buntu aku. Tak tahu apa yang tak kena.
Tapi melihat pada keadaan Hani yang tak boleh nak menyusu, aku jangkakan samada tonsil dia sakit atau gusi bengkak sebab nak tumbuh gigi.
Hari Kedua (Sabtu)
Sampai ke pagi, Hani tak nak minum susu melalui botolnya. Aku cuba bagi guna syringe, adalah dalam 1 auns dia minum. Kemudian aku bagi minum air masak..dalam 1 auns jugak. Tapi bila bagi biskut Tiger susu tu nak pulak dia makan. Sampai 4 keping dia habis.
Pagi tu jugak aku masakkan dia bubur nasi campur lobak. Berselera dia makan. Agaknya lapar sebab tak berapa minum susu sejak malam tadi.
Tapi, Hani masih menolak untuk minum air atau menyusu. Melihat keadaan Hani, aku ambil keputusan bawa Hani ke klinik untuk doktor lihat keadaan dalam mulut Hani.
Di klinik, Doktor maklumkan yang ada ulser dalam mulut Hani. Patutlah Hani tak boleh minum. Doktor kata, mungkin sebab kedudukan puting susu dalam mulutnya yang kena tempat ulser tumbuh.
Aku ada tanyakan Doktor juga sama ada Hani dijangkiti HFMD. Sebab dalam 2 atau 3 minggu lepas ada kes di taska tempat aku hantar Hani.
Mungkin juga Doktor kata, tapi tak boleh sahkan sebab tiada ruam yang muncul di tapak tangan dan kaki.
Untuk ulser dalam mulut, Doktor kemudian prescribed ubat untuk melegakan ulser mulut dari jenama Aloclair seperti gambar di bawah.
Ubat ini bertindak sebagai “bius sementara” bila dispray ke ulser di dalam mulut.
Memang berkesan juga ubat ni. Setiap kali sebelum Hani menyusu aku spray kan dulu Aloclair ke kawasan yang dijangkiti ulser dalam mulut Hani, barulah dia nak menyusu. Kalau tak, Hani tak nak menyusu..
Hari Ketiga (Ahad)
Ketakutan aku macam jadi kenyataan. Ruam-ruam di tangan, kaki dan mulut Hani mula kelihatan. Ruam masa ini merah macam ruam biasa dan belum membesar. Aku cuma sapukan krim Foban untuk mengelakkan jangkitan. Sebenarnya tak tahu nak sapu apa..
Hari Keempat (Isnin)
Ruam membesar dan sedikit bernanah. Ada yang pecah sebab Hani garu. Petang tu aku bawa Hani ke Klinik Kesihatan Kerajaan dengan tujuan untuk mengesahkan dan melaporkan sekiranya betul Hani terkena jangkitan HFMD dan juga untuk mendapatkan ubat.
Semasa di klinik, Doktor mengesahkan Hani memang dijangkiti HFMD. Ada part seolah-olah aku soal siasat. Doktor menanyakan dah berapa hari dan perkara sebelum Hani kena HFMD. Aku juga maklumkan yang taska Hani ada kes dalam 2 / 3 minggu lepas.
Doktor mengisi satu borang, nama dan alamat taska Hani di tulis, alamat perhubungan aku di ambil. Doktor maklumkan yang mungkin inspektor kesihatan akan telefon dalam beberapa hari lagi untuk membuat siasatan.
HFMD sebenarnya tidak boleh dipandang ringan. Anda rujuk sahaja kes yang berlaku di Sarawak beberapa tahun lepas yang dicatatkan di website Kementerian Penerangan ini.
Sesudah itu, doktor memberikan 3 jenis ubat seperti gambar di atas iaitu satu ubat sapu dalam mulut (Dyna orapaste), ubat Calamine losyen untuk disapukan ke kawasan ruam dan ubat demam sekiranya demam melanda.
Doktor juga nasihatkan agar Hani di kuarantine di rumah selama seminggu untuk mengelakkan penyakit itu menjangkiti anak-anak lain di taska.
Pada hari keempat ini, Hani masih kurang hendak minum air atau menyusu, tapi lebih baik dari hari kedua. Macamanapun aku kurang risau sebab Hani masih membuang air kecil macam biasa, dan kadarnya pun boleh dikatakan normal (berdasarkan berat diapers).
Hari Kelima – sekarang
Kesan-kesan HFMD dah mula mengering. Cuma ada yang terdedah sebab luka digaru oleh Hani. Ruam HFMD memang gatal. Jadi, anak menggaru ruam memang tak dapat dielakkan, lebih-lebih di kawasan badan yang terdedah.
Sebetulnya, di celah ketiak Hani dan di punggung Hanipun ada ruam HFMD. Tapi dengan amalan kebersihan yang tinggi dan menyapukan ubat yang dibekalkan Doktor, ruam-ruam ini berjaya dielak dari merebak teruk.
Hari ini dah hari kesebelas Hani dijangkiti HFMD. Ruam dah kering, tapi masih boleh nampak kesannya.
Untuk minggu ni, aku masih tak hantar Hani di taska..biar sampai betul-betul sihat baru hantar. Buat masa ini, mak mertualah yang menjaga Hani. Mak mertua tiba pada hari keempat Hani dijangkiti HFMD..nanti aku kongsi dalam entri yang lain pula.
Penutup
Kita memang tak tahu samada anak dijangkiti HFMD atau tidak. Kalau kebetulan sebelum itu memang ada kes di taska (kalau hantar anak di taska), kita bolehlah agak..
Apa-apa halpun, bawa anak-anak berjumpa doktor dulu untuk diperiksa..
Kisah si Dairy
kesiannya tengok hani.kira bahaya jugaklah kan bila terkena HFMD ni.lepas ni boleh la saya alert tentang perkembangan sehari ke sehari anak saya,risau jugak bila dah berada di taska nanti.terima kasih atas info ni ct.sangat bermanfaat
ctfand
Sama-sama ida… Terima kasih juga..
Mummydearie
Kesiannya Hani. Nasib baik cepat juga tindakan Fand. Kalau saya ni, suhu badan anak baru nak naik sikit, saya yang terkinja-kinja tak senang duduk. Bila anak jatuh sakit, memang susahnya rasa dalam hati. Macam-macam fikir!
ctfand
Betul tu MD..saya kalau dah anak sakit…saya tak senang duduk.. Risau sangat..
Nan
Malam anak saya susah tidur sis sbb ada bintik2 tu dalam tekak..macamana yea nak legakan die??
ctfand
Kalau ada spray Aloclair atau yg sewaktu dgnnya boleh spraykan dekat tekak tu..bolehla lega sekejap. Kalau buat susu jgn panas/suam sgt..nanti sakit tekak anak tu..
MamaRisau
Askum. Nak tanya, jika anak telah di notification terkena HFDM, adakah pemeriksaan dalam rumah akan dibuat oleh pihak kesihatan. Sebab masa bawa anak ke klinik, mereka tak bagitahu apa2 nak datang menyiasat.
ctfand
Bergantung. Jika tak dirumah, mereka akan periksa di taska atau dimana tempat anak dihantar pada siang hari.