Seperti kita ketahui, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 2021 mengikut kategori di negeri-negeri di Malaysia telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 11 Januari 2021, Isnin yang lepas.
Kalau kita ingat kembali, sejarah pelaksanaan PKP untuk mengekang Covid-19 di negara kita telah bermula pada 18 Mac 2020, kemudian dilanjutkan secara berperingkat, sehinggalah ke PKPB dan PKPP.
Saya pun dah lost track dah tarikh-tarikh pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP kita ini. Di pejabat, tarikh-tarikh ni penting untuk direkodkan kerana terdapat beberapa masa yang mana pejabat membenarkan kami bekerja dari rumah dan hadir ke pejabat secara bergilir dalam beberapa minggu.
Sebelum ini, PKP telah dikuatkuasakan dalam empat peringkat selama 47 hari, mulai 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020.
Berikut adalah sejarah fasa pelaksanaan PKP atau kronologi PKP susulan penularan pandemik COVID-19 di negara kita sejak tahun 2020:
Peringkat 1
16 Mac 2020 : YAB Perdana Menteri mengisytiharkan PKP berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.
Peringkat 2
25 Mac 2020 : Tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April berikutan perkembangan semasa yang menyaksikan peningkatan kes positif COVID-19.
Peringkat 3
10 April 2020 : Tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 28 April untuk mengelakkan penularan kembali wabak COVID-19 selain memberi peluang kepada petugas kesihatan untuk memerangi virus berkenaan.
Peringkat 4
23 April 2020 : Tempoh PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei.
Peringkat 5 – PKPB
1 Mei 2020 : Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 hingga 12 Mei.
Peringkat 6
10 Mei 2020 : PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.
Peringkat 7 – PKPP
7 Jun 2020 : YAB Perdana Menteri mengumumkan PKPB digantikan dengan PKPP yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos.
Peringkat 8
28 Ogos 2020 : PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Peringkat 9 – PKPB semula
12 Oktober 2020 : Kerajaan mengumumkan semula pelaksanaan PKPB di Sabah (13 hingga 26 Oktober) manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 14 hingga 27 Oktober 2020 kerana terdapat peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di kawasan dinyatakan.
Peringkat 10
24 Okt 2020 : PKPB di seluruh Sabah dilanjutkan sehingga 9 November.
Peringkat 11
26 Oktober 2020 : PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan sehingga 9 November.
Peringkat 12
7 November 2020 : PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula 9 November sehingga 6 Disember.
Peringkat 13 – Penamatan PKPB
20 Nov 2020 : PKPB di negeri Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu ditamatkan pada 21 November
Peringkat 14
5 Dis 2020 :
PKPB Kelantan tamat kecuali di Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, dan Tanah Merah yang diteruskan dari 7 hingga 20 Disember.
PKPB di seluruh Sabah dilanjutkan selama 14 hari bermula dari 7 Dis hingga 20 Dis.
PKPB di Putrajaya dan Labuan ditamatkan.
PKPB di Selangor dilanjutkan 7 hingga 20 Disember kecuali Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor
PKPB Negeri Sembilan ditamatkan kecuali Seremban dan Port Dickson yang disambung 7 hingga 20 Disember
PKPB Pulau Pinang ditamatkan kecuali 1 Mukim di Barat Daya dan 1 Mukim di Timur Laut
PKPB Perak ditamatkan kecuali daerah Kinta, Mukim Teja dan Mukim Changkat Jong yang disambung 7 hingga 20 Disember
PKPB Johor, untuk Mersing ditamatkan, Kota Tinggi diteruskan 7 hingga 20 Disember, Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai mulai 6 hingga 19 Disember
Peringkat 15
18 Disember 2020 : PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah serta beberapa lokaliti di negeri-negeri lain dilanjutkan hingga 31 Disember.
Peringkat 16
28 Dis 2020 : PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah serta beberapa lokaliti di negeri-negeri lain dilanjutkan sehingga 14 Jan 2021.
Peringkat 17
1 Januari 2021 : PKPP di seluruh negara dilanjutkan lagi mulai 1 Januari hingga 31 Mac 2021
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN FASA 2 2021
11 Jan 2021 : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut kategori dilaksanakan di semua negeri-negeri di Malaysia mulai 13 hingga 26 Januari 2021.
PKP Fasa 2 Siri 2
PKP disambung lagi dari 27 Januari 2021 hingga 4 Februari.
PKP Fasa 2 Siri 3
1 Februari 2021: PKP disambung dari 5 Februari 2021 hingga 18 Februari 2021
Terbitan asal: 13 Januari 2021
Dikemaskini: 5 Februari 2021
Leave a Reply